Sunday, February 24, 2013

SEJARAH PENUBUHAN



Masjid dan Pusat Islam sebenarnya telah wujud semenjak wujudnya Universiti Pertanian Malaysia dan idea membina Masjid dan menubuhkan Pusat Islam telah dicetuskan sejak 1973 iaitu untuk memenuhi keperluan kakitangan, mahasiswa dan masyarakat setempat. Walau bagaimanapun di bawah projek Rancangan Malaysia Ketiga, (1976-1980) ia tidak dapat dilaksanakan kerana masalah tapak, peruntukan dan seumpamanya.

Pada asalnya, tapak masjid yang ada sekarang ini wujudnya penempatan setinggan yang menghuni Kampung Pasir dan juga sebahagian daripada tapak Universiti Pertanian Malaysia milik kerajaan. Selepas tahun 1979, beberapa usaha telah dijalankan untuk menggesa kerajaan membina masjid. Pada tahun 1982, kelulusan pembinaan masjid ini masih lagi tertangguh oleh kerana faktor kemelesetan ekonomi negara. Pada awal tahun 1987, kerja-kerja pembinaan dimulakan atas desakan pengurusan universiti dan masyarakat setempat serta keprihatinan kerajaan.

Pada masa yang sama, telah tertubuh Unit Islam di UPM sebelum dikenali sebagai Pusat Islam dan seterusnya Pusat Islam Universiti (sebelumnya Pusat Islam). Pusat Islam dibina hasil usaha Naib Canselor UPM yang pertama, Y. Bhg. Prof. Tan Sri Datuk Dr. Mohd Rashdan bin  Haji Baba dan Y. Bhg. Dato’ Mohd Nor bin Ismail Timbalan Naib Canselor. Pembinaan masjid diteruskan hasil keprihatinan Y. Bhg. Tan Sri Dato’ Profesor Dr. Nayan bin Ariffin dan siap sepenuhnya pada Julai 1989.

Sekarang Pusat Islam Universiti dan Masjid UPM bertanggungjawab kepada Yang Berbahagia Naib Canselor UPM dan Pendaftar UPM. Kedua tokoh ini amat mengambil berat soal kemajuan Masjid UPM dan Pusat Islam Universiti, UPM. Masjid ini terletak di atas tanah termasuk Kompleks Pusat Islam seluas sembilan hektar dan merupakan sebahagian daripada kampus UPM Serdang. Keluasan bangunannya ialah 96,041 kaki persegi. Keluasan bangunan masih lagi kekal hingga sekarang. Masjid ini diletakkan di bawah pentadbiran Pusat Islam (sekarang Pusat Islam Universiti) pada 1 Oktober 1988.


Pada 1hb. Oktober 1988, bangunan Masjid Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Pusat Islam Universiti, Universiti Putra Malaysia telah siap dibina sepenuhnya. Masjid UPM merupakan pusat perkhidmatan kerohanian dan keagamaan serta kecemerlangan sahsiah bagi para staf, mahasiswa dan masyarakat. Masjid UPM berfungsi untuk menjalankan aktiviti yang dapat menggalakkan dan memberi peluang kepada seluruh masyarakat iaitu staf, mahasiswa dan masyarakat termasuk yang bukan Islam untuk mengenali dengan lebih dekat lagi prinsip-prinsip dan kegiatan-kegiatan keIslaman yang sebenarnya dengan harapan bahawa ia akan melahirkan kefahaman tentang ajaran Islam yang sebenarnya.

No comments:

Post a Comment